Pusrapi HQ INFO: Berubat dengan Siwak
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
Maksudnya:
“Siwak menyucikan mulut dan mendapatkan keredhaan Allah.”
(Diriwayatkan oleh al-Bukhari)
Berdasarkan hadis
ini dan banyak lagi hadis lain yang membahaskan tentang siwak, kami akan
memaparkan kepada anda tentang beberapa hadis dan kajian yang berkaitan siwak.
Dalam buku ini kami akan menjelaskan beberapa manfaat siwak dan sekilas tentang
sejarah kegunaannya, di mana seiring perjalanan waktu, ilmu kesihatan moden
terus berusaha menemukan faedah dan rahsia yang terkandung di dalam kayu siwak
ini.
Perbahasan tentang
siwak sudah pun dijelaskan dalam ilmu perubatan Nabi S.A.W. Oleh itu, ilmu
kesihatan moden berusaha membuktikan kebenaran dalam ajaran kesihatan yang
telah disampaikan oleh Baginda. Siwak memiliki banyak faedah bagi menjaga
kesihatan mulut dan gigi di samping kegunaan yang lain dalam agama. Sebagaimana
disebutkan dalam beberapa riwayat hadis bahawa siwak merupakan salah satu cara
untuk mendapatkan keredhaan Allah, membuat para malaikat menjadi kagum, dan
siwak juga mampu memotivasikan kita untuk membaca al-Quran, berzikir, solat
serta memperbanyak amal kebaikan.
Siwak sentiasa
menjadi perhatian para pakar perubatan moden di setiap tempat. Mereka terus
meneliti dan berusaha menemukan sekian banyak faedah dan keistimewaannya.
Hanya kepada Allah
kami memohon agar dilimpahkan taufiq-Nya dalam memaparkan sebahagian manfaat
siwak ini, agar setiap kita sama ada dewasa ataupun kanak-kanak boleh memetik
faedahnya.
Semoga Allah
sentiasa melimpahkan keselamatan kepada Nabi Muhammad S.A.W, keluarga dan
seluruh sahabatnya.
Imam al-Nawawi berkata: “Dianjurkan bersiwak dengan pokok arak atau
benda lain yang juga boleh digunakan untuk bersiwak, serta boleh menghilangkan
kotoran di mulut, seperti sehelai kain kesat, rumput lalang dan pokok asynan”
APAKAH ITU SIWAK?
Definisi Siwak
Secara bahasa kata siwak bermakna “kecenderungan” dan “gerakan”.
Imam al-Nawawi berkata: “Siwak menurut bahasa digunakan untuk menunjukkan
perbuatan bersiwak atau alat untuk bersiwak”.
Di samping itu,
siwak juga bermakna menggosok. Makna ini lebih menjurus pada maksud sebatang
kayu atau sikat yang digunakan untuk menggosok gigi dengan tujuan menghilangkan
warna kuning pada permukaan gigi dan selainnya.
Dari sudut
istilah, siwak bermakna penggunaan potongan kayu atau sejenisnya untuk
menggosok gigi dengan tujuan menghilangkan kekuningan dan sisa-sisa makanan
yang ada pada mulut.
Bersiwak juga
boleh dilakukan dengan apa-apa objek asalkan benda itu kesat dan boleh
menghilangkan sisa makanan serta warna kuning yang muncul di permukaan gigi. Ia
juga boleh menghilangkan bau yang tidak sedap dari mulut, seperti dahan pokok
arak, pokok zaitun, potongan dahan pokok Neem dan sebagainya. Dan dimakruhkan
menggunakan pokok yang tidak dikenali dengan tujuan menjauhi kemudaratan,
seperti pokok yang mengandungi zat racun dan selainnya.
Imam al-Nawawi
berkata: “Dianjurkan bersiwak dengan pokok arak atau benda lain yang juga boleh
digunakan untuk bersiwak, serta boleh menghilangkan kotoran di mulut, seperti
sehelai kain kesat, rumput lalang dan pokok asynan”.
Sejarah Ringkas Siwak
Siwak berasal dari pokok yang dinamakan dengan arak. Adapun dari
segi ilmiah, pohon ini dinamakan dengan Salvadora Perisca yang merupakan
potongan pokok arak tersebut. Pokok arak adalah pokok yang kecil, seperti
belukar dengan batang yang bercabang-cabang, memiliki aroma yang khas seperti
seledri dan rasanya yang agak pedas.
Pokok arak ini
banyak terdapat di daerah pergunungan Tursina, Sudan, bahagian timur India,
Arab Saudi, Yaman dan daerah Afrika. Pokok ini juga hampir sama dengan pokok
delima, di mana sepanjang musim dalam setahun bentuknya terus menghijau dan
memiliki dahan yang panjang. Daunnya berwarna hijau pekat, bunganya kecil-kecil
dan berwarna putih sedangkan buahnya bertangkai seperti biji anggur. Arak
merupakan pokok yang bentuknya begitu besar, sehingga sebatang pokok arak nampak
seperti semak belukar kerana cabangnya yang begitu banyak, padahal ia termasuk
pokok yang rendah di mana ketinggiannya tidak melebihi satu kaki dengan
rantingnya yang banyak. Daunnya berkilat, kulit batangnya agak berkerutan dan
warnanya coklat muda.
Sedangkan bahagian
yang digunakan sebagai siwak dari pokok itu adalah bahagian akarnya dengan
menggali tanah lalu mengambil akar tersebut dengan ukuran yang beragam,
kemudian dipotong dengan potongan yang berbeza-beza dan dijual di pasar dalam
bentuk dan ukuran yang beraneka ragam pula.
Setelah akarnya
diambil untuk digunakan sebagai siwak, dianjurkan terlebih dahulu untuk
dikeringkan dan kemudian disimpan pada tempat yang tidak basah. Kemudian
sebelum digunakan hendaklah hujungnya diraut dengan alat tajam, apabila dia
masih kering hendaklah dibasahi dengan air lalu barulah bersiwak dengan
menggosokkannya pada gigi.
Dan beginilah
seterusnya cara menggunakan siwak. Namun apabila sikat di hujungnya sudah
melemah dan gugur, maka hendaklah segera dipotong lalu diraut kembali untuk
digunakan semula.
Para penduduk
Babylon telah menggunakan siwak sejak tujuh ribu tahun silam, kemudian juga
digunakan oleh orang-orang Yunani, Romawi, Kaum Yahudi, penduduk Mesir dan kaum
Muslimin.
Sedangkan di
Afrika, untuk bersiwak mereka menggunakan pokok limun (Citrus aurantifolia) dan
limau (Citrus sinesis), di Amerika mereka menggunakan pokok Senna, dan di
daerah Sierre digunakan pokok Laburnum Afrika (Cassica sieberianba) iaitu
tanaman yang tumbuh di daerah berbukit. Adapun di daerah semenanjung India
mereka menggunakan pokok Neem.
Dari sebahagian
riwayat tentang pokok arak ini, bahawa Sayyidina Ali bin Abu Thalib r.a. pada
suatu hari memasuki rumahnya dan mendapati isterinya Siti Fatimah al-Zahra’
binti Rasulullah S.A.W sedang bersiwak dengan kayu pokok arak. Sayyidina Ali
pun ingin bersenda gurau terhadap isterinya itu dengan mendeklamasikan sebuah
syair:
Engkau telah menikmati giginya wahai pokok arak
Apakah engkau dalam peperangan pasti engkau akan ku bunuh
Dan engkau tidak akan menang melawan aku wahai siwak.
Dalam riwayat yang lain dikhabarkan bahawa dalam salah satu
peperangan, umat Islam sangat susah memperoleh kemenangan. Mereka sendiri
sangat bingung apakah punca mereka sehingga mengalami nasib sedemikian.
Meskipun demikian, mereka tetap terus berperang sambil dengan sabar terus
menanti kemenangan yang belum kunjung tiba. Kemudian salah satu tentera Islam
mencuba untuk mengungkapkan fikirannya tentang punca yang sangat teruk ini: “Boleh
jadi punca kesulitan yang kita hadapi ini adalah kerana kita tidak pernah
bersiwak”. Namun sayangnya di daerah tempat berlangsungnya peperangan itu,
tidak dijumpai pokok arak yang biasanya digunakan untuk bersiwak. Mereka
berkata: “ Kita harus mencari pokok lain agar kita boleh bersiwak dengannya.”
Kemudian mereka
mencari dan mendapatkan pokok yang hampir serupa dengan pokok arak, lalu mereka
mengambil dan memotong pangkal akarnya dan menggunakannya untuk bersiwak.
Sementara itu, di
pihak musuh, mereka telah mengutus mata-mata untuk mengintai pasukan kaum
Muslimin. Tatkala sedang melakukan perbuatan itu, anggota perisik musuh melihat
tentera Islam seluruhnya sedang bersiwak. Melihat apa yang sedang dilakukan
oleh bala tentera Islam tersebut, dia segera berlari menuju pengkalan
pasukannya dalam keadaan menggigil ketakutan dan menyampaikan khabar kepada
pasukannya bahawa kaum Muslimin sedang mengasah gigi mereka untuk memakan kita.
Allah pun menimbulkan rasa takut dalam hati mereka dan mereka pun melarikan
diri. Akhirnya bala tentera Islam berjaya meraih kemenangan dengan berkat
bersiwak.
Siwak membersihkan mulut dan penggunanya akan memperoleh keredhaan
Tuhan.
PETUNJUK NABI DALAM BERSIWAK.....(bersambung)....

Ulasan
Catat Ulasan